Helikopter Persenjataan Perang Vietnam

UH-1 Huey

Helokopter memainkan pernaan penting semasa Perang VietnamHelikopter CH-47 Chinook Menunjukkan Keupayaan Mengangkat Muatan Berat Di Vietnam

Helikopter jenis UH-1 Huey (daripada huruf pengenalan HU-1) mencapai kematangan sebagai sistem persenjataan semasa perkhidmatan di Vietnam. Helikopter in kecil, terbang laju dan boleh terbang rendah dan boleh diubah suai menjadi beberapa konfigurasi mengikut keperluan keadaan.Helikopter Huey berjaya kerana berjaya menggunakan enjin jenis jet turbin Lycoming yang ringan tetapi berkuasa tinggi. Helikopter ini diasaskan kepada helikopter Bell 204 dan diberikan penamaan HU-1 (yang membawa kepada nama jolokannya Huey). Dalam tahun 1962, helikopter ini diterima berkhidmat dengan Tentera Darat Amerika dengan nama pengenalan UH-1.

Di Vietnam, helikopter ini kebanyakannya digunakan sebagai helikopter utility, tetapi juga amat berguna sebagai helikopter medEvac, pengangkutan anggota dalam serangan udara dam menjalankan misi-misi mencari dan menyelamat. Semasa Perang Vietnam, versi UH1-D dikeluarkan dalam tahun 1963, dengan enjin yang lebih berkuasa dan fiuslaj yang lebih panjang.

Helikopter ini dipasangkan dengan dua mesingan M-60 membolehkan anak kapal memberikan tembakan bantuan kepada tentera yang masuk atau keluar daripada helikopter mereka. Roket dipasang untuk membolehkan Huey digunakan sebagai platform serangan untuk memusnahkan jambatan, bangunan dan kereta kebal.

Huey yang dipasangkan roket dan mesingan dipanggil Snake berbanding dengan Slick untuk helikopter pengangkut biasa. Gatling Gun memberikan kadar tembakan melebihi 6,000 tembakan peluru per minit (rounds per minute). Kerangka Huey digunakan untuk membina helikopter penyerang AH-1 Cobra dan dilengkapkan dengan roket, minigun dan misil. Di Vietnam seramai 2,202 orang juru terbang Huey terbunuh dan kira-kira 2,500 Huey musnah, separuh daripada semasa pertempuran.

Boeing Vertol CH-47 Chinook

Dalam tahun 1966, Tentera Darat Amerika diarahkan menyerah kesemua pesawat pengangkut C-7 Caribou kepada Tentera Udara Amerika. Dengan penyerahan ini, Tentera Darat kehilangan keupayaan pengangkutan taktikal. Helikopter pengangkut CH-47 Chinook diperkenalkan dalam tahun 1966 dan membawa dimensi baru ke medan tempur. Dengan menggunakan helikopter ini, peralatan berat boleh dibawa di serata pelosok medan tempur. Dengan keupayaan angkat sehingga 10 tan, peralatan seperti meriam medan dan lain-lain peralatan berat (jentolak dsbg) boleh dipindahkan dengan cepat dan ditempatkan di tempat ia diperlukan. Dan ini dapat dilakukan tanpa memerlukan landasan kapal terbang yang khusus.

Sejak itu, helikopter CH-47 Chinook menjadi keperluan penting Tentera Darat. Helikopter ini boleh memuatkan sehingga 33 orang anggota tentera berbanding 8 hingga 10 orang yang boleh diisi dalam helikopter Huey. Helikopter CH-47 Chinook boleh dipasangkan dengan 3 mesingan M-60 untuk memberikan kebolehan memberikan tembakan bantuan kepada askar-askar yang mendarat. CH-47 Chinook menjadi pengangkut berat standard Divisyen Pertama Kavalri Udara.

Sikorsky HH-3E Jolly Green Giant

Helikopter HH-3 melakukan misi menyelamat di Vietnam

Helikopter HH-3E adalah satu versi helikopter SH-3 buatan Sikorsky yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat. Helikopter HH-3E digunakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat sebagai helikopter mencari dan menyelamat, dan dikenali dengan nama jolokan Jolly Green Giant.

Pesanan awal adalah untuk 75 buah helikopter yang diberikan penamaan CH-3C dengan ekor baru yang mempunyai tanjakan (ramp) untuk memuatkan barang dan kenderaan. Dalam tahun 1966, 41 buah helikopter CH-3Cs dinaik taraf dengan enjin yang lebih berkuasa dan diberikan penamaan CH-3E dan ditambah dengan pesanan baru untuk 45 buah helikopter.

50 buah helikopter ditugaskan untuk misi mencari dan menyelamat dan dipanggil sebagai HH-3E dan diberikan pertahanan armor, senjata pertahanan sendiri (mesingan M-60), tangki minyak kedap sendiri (self-sealing fuel tanks), pengangkat penyelamat dan keboleh mengisi minyak dalam penerbangan.

Bell OH-58 Kiowa

OH-58 Kiowa

Helikopter OH-58 Kiowa adalah helikopter yang dikeluarkan oleh bell Helicopters untuk kegunaan peninjauan, pengawasan dan pengutipan maklumat risik. Dalam bulan Oktober 1961, tentera darat Amerika meminta cadangan daripada syarikat pembuat helikopter untuk pembekalan helikopter pengawasan ringan (LOH) daripada Belll Helicopter dan 12 pengeluar lain. Bell mengemukakan rekaan Bell 206. 5 buah prototaip dibina untuk penilaian Tentera. Juru terbang penilai membuat aduan kekurangan kuasa enjin pesawat Bell ini dan ia tersingkir daripada pemilihan. Akhirnya, rekaan Hughes dipilih dan memasuki perkhidmatan sebagai OH-56 Cayuse.

Bell memasarkan model Bell 206 Jetranger di pasaran awam dan mendapat jualan laris, khususnya daripada stesen televisyen dan pasukan polis. Dalam tahun 1967, tentera Amerika sekali lagi meminta pembidaan daripada pengeluar helikopter untuk pembekalan helikopter LOH kerana Hughes tidak dapat memenuhi kontrak pembekalan helikopter OH-56 Cayuse. Kali ini Bell menang pembidaan dan modelnya diterima masuk perkhidmatan tentera dan diberikan penamaan OH-58 Kiowa.

Helikopter ini dihantar ke Vietnam pada musim gugur 1969 dan ditugaskan dalam pasukan Kavalri Udara, pasukan helikopter penyerang dan pasukan artileri medan. Selain itu, Kiowa juga digunakan untuk misi MedEvac. Kiowa juga digandingkan dengan AH-1G Cobra dalam “Pink Team”. Helikopter OH-58 Kiowa boleh dipasangkan sistem senjata M27 dengan mesingan M134 7.62mm di sebelah kiri pesawat.

Hughes OH-6 Cayuse


Helikopter buatan Hughes berkhidmat di Vietnam sebagai sebuah helikopter peninjau ringan (LOH) dan dipanggil Loach. Helikopter ini mempunyai enjin Allison T63-A-5A yang memberikan kuasa 253-shp. Prototaip helikopter ini melakukan penerbangan sulung dalam bulan Februari 1963. Helikopter ini memulakan khidmat dengan tentera Amerika Syarikat dalam tahun 1966. Helikopter ini memenangi pertandingan untuk pembekalan helikopter LOH mengalahkan rekaan Fairchild Hiller dan rekaan Bell Helicopter. Rekaan bell kemudiannya dikembangkan menjadi Bell 206 (dan kemudiannya OH-58 Kiowa)

OH-6A Cayuse mempunyai prestasi tinggi dan bunyi yang kurang bising khususnya disebabkan penggunaan rotor 4 bilah dan saiznya yang kecil. Helikopter ini akan terbang rendah untuk mengacum musuh supaya menembak supaya kedudukan musuh dapat dikesan. Helikopter ini digandingkan sebagai “Pink Team” dengan helikopter penyerang AH-1 Cobra.

Helikopter OH-6A Cayuse boleh tahan menerima tembakan teruk dan masih berupaya pulang dengan selamat. Helikopter ini boleh dilengkapkan dengan sistem senjata M27 dengan senjata Minigun M134 di sebelah kiri pesawat dan sepucuk mesingan M60D 7.62mm di sebelah kanan.

Bell AH-1 Cobra

AH-1G Cobra di Vietnam

Helikopter AH-1 Cobra adalah sejenis helikopter penyerang dua anak kapal yang boleh beroperasi sama ada di darat ataupun di laut. Helikopter ini memberikan bantuan serangan rapat untuk pasukan tentera khususnya di dalam peranan anti kereta kebal, iringan bersenjata dan peninjauan.

Helikopter ini lahir daripada pengalaman yang diperolehi semasa perang Vietnam. Kejayaan helikopter Huey yang dipasangkan senjata roket dan mesingan mendorong tentera Amerika Syarikat untuk mencuba penggunaan helikopter penyerang yang khusus, Akhirnya helikopter AH-1F dikeluarkan menggunakan enjin, sistem gear dan sistem rotor helikopter UH-1 tetapi diberikan pengubahsuaian menjadi helikopter penyerang khususnya dengan fiuslaj yang tirus dan tempat juru terbang yang disusun cara tandem. Helikopter ini juga menjadi ikon perang Vietnam. Helikopter ini berjaya memenuhi keperluan tentera Amerika untuk sebuah helikopter yang pantas, ringan dan boleh mensasarkan ordnans dengan tepat.

Apabila program Lockheed Cheyenne gagal mencapai matlamatnya, tentera Amerika Syarikat memilih helikopter AH-1 sebagai alternatif. Model AH-1G Cobra menggunakan rotor lebar, dan boleh terbang dua kali lebih laju daripada helikopter Huey dan boleh berlegar 3 kali lebih lama.

Boeing Vertol CH-46 Sea Knight

Helikopter CH-46

Helikopter CH-46 Sea Knight digunakan oleh pasukan Marin Amerika Syarikat untuk tujuan pengangkutan berat sederhana. Helikopter jenis ini mula digunakan dengan pembelian awal sebanyak 600 unit dalam tahun 1964 dan bertujuan memenuhi keperluan pengangkutan berat sederhana pasukan Marin di Vietnam.

Helikopter ini menggunakan sistem dua kipas rotor (tandem rotor) yang memberikannya pengendalian yang lebih baik di dalam keadaan angin kencang yang membolehkan helikopter ini membuat perubahan kedudukan dan hala dengan cepat semasa pergerakan helikopter yang perlahan. Helikopter ini boleh membawa 25 orang anggota tentera serba lengkap dan boleh membuat angkutan 3 ton dan boleh terbang selama 2 jam. Perut kapal yang luas membolehkan ia digunakan untuk pemasangan pengusung bagi pemindahan mangsa bencana. Helikopter ini boleh mendarat dan terapung sehingga 2 jam di atas air sekiranya perlu membuat pendaratan kecemasan.

Penerbangan sulung helikopter ini dibuat dalam bulan April 1958, sebagai satu inisiatif sendiri syarikat Boeing Vertol yang mengunjurkan aplikasi ketenteraan. Tentera Darat membuat penilaian ke atas 3 buah helikopter tetapi akhirnya mahukan helikopter yang lebih besar dan boleh mengangkut muatan lebih berat.

Pasukan marin pula melihat helikopter ini paling ideal untuk memenuhi keperluannya. Pengubahsuaian dibuat supaya rotornya boleh dilipatkan untuk memaksimumkan ruang simpanan, dan pintu tanjakan yang boleh dibuka semasa penerbangan. Helikopter ini juga dipasangkan mesin angkut (hoist) yang boleh mengangkat beban sehingga 5 ton. Helikopter CH-46A yang pertama membuat penerbangan dalam bulan Ogos 1962 dan diterima berkhidmat mulai tahun 1964.

Sikorsky CH-53 Sea Stallion

Helikopter CH-53 Super Jolly Green Giant

CH-53 Sea Stallion adalah nama panggilan sejenis helikopter berat buatan Sikorsky pada asalnya untuk Kor Marin Amerika Syarikat. Helikopter ini kini menjadi helikopter yang paling berat dibuat di negara barat. Helikopter ini direka bentuk sebagai Model 65 dalam tahun 1960. Dalam tahun 1964, helikopter ini memasuki perkhidmatan dengan Kor Marin sebagai CH-53A Stallion.

Helikopter CH-53A dipesan oleh Kor Marin untuk memenuhi keperluan helikopter pengangkutan berat, dan pesawat pertama menjalankan penerbangan pada 12 Oktober 1964.

Helikopter HH-53 adalah versi yang digunakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat untuk operasi mencari dan menyelamat tempur (combat search and rescue) atau CSAR. Pada 15 Mac 1967, helikopter HH-53B Super Jolly Green Giant membuat penerbangan sulungnya di Pengkalan Udara Wright-Patterson. Setelah menjalani penilaian dengan memuaskan, helikopter ini dihantar untuk menjalani misi CSAR di Vietnam. Helikopter HH-53 "Super Jolly" sepatutnya menggantikan helikopter HH-3 Jolly Green Giant dalam peranan CSAR.

HH-53 "Super Jolly" boleh terbang dengan lebih laju berbanding HH-3 dan mempunyai berat pelepasan hampir 3 kali berat pelepasan HH-3. Helikopter HH-53 "Super Jolly" juga lebih berkuasa membolehkan ia dipasangkan dengan pertahanan armor dan persenjataan yang lebih berat, dan boleh terkatung-katung dengan lebih upaya khususnya di tempat dan di paras tinggi.

Helikopter HH-53 Super Jolly menjadi helikopter utama digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat tempur CSAR semasa Perang Vietnam menggantikan helikopter HH-3. Helikopter ini juga digunakan untuk melaksanakan misi-misi peperangan khas seperti penyusupan masuk anggota-anggota pasukan khas ke kawasan operasi. HH-53 Super Jolly digunakan untuk menyusup masuk pasukan komando semasa serangan ke atas penjara Son Tay dalam tahun 1970 dalam percubaan untuk membebaskan tahanan perang Amerika di penjara tersebut.

Sikorsky CH-54 Tarhe

Helikopter CH-54 Tarhe Mengangkat Helikopter CH-47 Yang Rosak Untuk Pembaikan

Helikopter Sikorsky CH-54A dan CH-54B Tarhe adalah helikopter yang asalnya diberikan penamaan Model 64 oleh Sikorsky. Helikopter ini dikenali sebagai Skycrane kerana melakukan kerja-kerja berat mengangkut keperluan berat di medan perang.

Helikopter ini mempunyai 3 orang anak kapal, iaitu juru terbang, pembantu juru terbang dan seorang ketua awak-awak yang mengendalikan jentera pengangkat (hoist). Helikopter ini berupaya mengangkat muatan yang berat dan besar (bulky) menggunakan kabel pengangkat. Penggunaan kabel ini membolehkan helikopter ini mengangkat muatan tanpa perlu mendarat terlebih dahulu.

Helikopter ini juga boleh mengangkat kotak kontena yang digunakan untuk pelbagai kegunaan, termasuk penggunaan sebagai sebuah surgeri MASH, lengkap dengan mesin X-Ray, bank darah dan peralatan makmal. Kotak ini dilengkapkan dengan pendingin hawa membolehkan pembedahan dilakukan di mana sahaja. Kotak yang lain membolehkan helikopter ini mengangkat 45 orang anggota tentera serba lengkap.

Helikopter ini berkhidmat dengan 1 Divisyen Kavalri di Vietnam. Helikopter ini juga digunakan dalam operasi mendapatkan semula pesawat udara terhempas yang terlalu berat untuk diangkat oleh helikopter CH-47 Chinook. Helikopter ini unik kerana boleh menggugurkan Sebutir bom 10,000 lb dikenali sebagai ‘daisy-cutter’ untuk memugar kawasan hutan untuk mewujudkan dengan serta merta kawasan pendaratan helikopter.

Helikopter CH-54 Tarhe mempunyai rotor enam bilah, rotor ekor 4 bilah dan dikuasai oleh dua buah enjin turbin Pratt & Whitney T73 -P-1 yang mengeluarkan kuasa 4500 shp, dan boleh mencapai kelajuan penerbangan 128 bsj (111 knots). Helikopter CH-54B menggantikan enjin dengan 2 buah Pratt & Whitney T73-P-700 yang mengeluarkan kuasa 4800 shp.

Sikorsky UH-34

Fail:Shuflylift.jpgHelikopter UH-34 membuat angkatan semasa Ops Shufly

Helikopter Sikorsky UH-34D bermula sebagai sebuah projek pembiayaan sendiri oleh Sikorsky, dan pada mulanya tidak diendahkan oleh angkatan bersenjata Amerika. Namun demikian, ia kelak menjadi helikopter yang menjadi tulang belakang cawangan perkhidmatan tentera Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Dikenali sebagai S-58 oleh Sikorsky, helikopter H-34 adalah satu penambahbaikan kepada helikopter S-55 buatannya yang mula digunakan dalam tahun 1940-an. Sikorsky membuat bidaan untuk memenuhi keperluan helikopter utiliti untuk Tentera Darat dan Tentera Udara dan keperluan helikopter anti kapal selam untuk Tentera Laut. Sikorsky tewas dalam semua percubaan ini.

Tentera Laut, Tentera Darat dan Kor Marin menilai semula helikopter S-58 setelah menghadapi masalah dengan pemilihan mereka yang terdahulu dan akhirnya membuat pilihan menggunakan helikopter S-58 ini.

Tentera Laut mulanya memanggil helikopter ini HSS-1 Seabat sementara Kor Marin memanggilnya HUS-1 Seahorse. Tentera Darat memanggilnya H-34 Choctaw. Dalam tahun 1962, penamaan helikopter ini ditukar kepada UH-34. Sikorsky membina 1,825 unit helikopter ini dan Perancis membina 135 unit lagi. Syarikat Westland di United Kingdom membina 400 unit versi dinamakan Wessex.

Helikopter ini menggunakan enjin Wright R-1820-84 dengan 9 silinder dengan penyejukan udara. menggunakan sistem kipas peniup. Fiuslaj helikopter ini dibuat menggunakan logam, khususnya aloi magnesium. Helikopter ini digunakan oleh Tentera Laut sebagai pesawat anti kapal selam dari tahun 1954 sehingga 1962 apabila tugasan ini diambil alih pesawat Sikorsky SH-3 Sea King. Helikopter h-34 juga digunakan untuk penerbangan VIP dan operasi mencari dan menyelamat SAR.

Kor marin menggunakan helikopter ini bermula tahun 1955, dan akhirnya menerima hantaran 515 unit helikopter UH-34D sehinggalah penerimaan helikopter CH-46 untuk perkhidmatan dalam Kor Marin.

Pada 15 April 1962, skuadron Marin HMM-362 ditempatkan di Soc Trang, Vietnam untuk menyokong tentera ARVN. Skuadron ini kemudiannya diikuti oleh lain-lain skuadron helikopter Marin. Sepanjang perkhidmatan helikopter ini dalam Perang Vietnam, 134 buah helikopter UH-34 musnah.

Rujukan

WikiPedia: Persenjataan Perang Vietnam http://psysim.www7.50megs.com/dustkelly.htm http://www.britains-smallwars.com/Vietnam/SP.htm http://www.danshistory.com/vietnam.shtml#kia http://www.historynet.com/magazines/vietnam/303011... http://www.imdb.com/title/tt0079652/ http://www.nostalgiacentral.com/movies/oddangrysho... http://keepourcountryfree.tripod.com/id18.html http://www.diggerhistory.info/pages-air-support/vi... http://www.vectorsite.net/avcrus_2.html#m3 http://www.globalsecurity.org/military/systems/air...